10 LANGKAH PROSES JUALBELI APARTMENT

Proses pembelian dan penjualan rumah mengambil masa untuk diselesaikan.

Berikut ialah langkah-langkah yang akan berlaku dalam proses jual beli rumah. Contoh yang diberikan ialah penjualan sebuah unit apartment yang sudah memiliki suratan hakmlik strata.

Terdapat sekatan kepentingan ke atas unit tersebut di mana ia tidak boleh dijual, dicagar atau digadai tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.

Unit tersebut berada di dalam negeri Selangor Darul Ehsan dan adalah sebuah unit yang dikategorikan sebagai unit kos sederhana rendah.

Langkah 1

Setelah penjual berjaya mendapatkan pembeli, pembeli akan menandatangani borang tempahan dan membuat permohonan kepada bank untuk mendapatkan pembiayaan.

Ketika ini, Pembeli biasanya akan membayar deposit awal berjumlah 3.18% dari jumlah harga jualbeli kepada ejensi hartanah berlesen.

Pembelian hendaklah tertakluk kepada kelulusan pembiayaan dan dinyatakan di dalam surat tawaran pembelian. Setelah pembiayaan diluluskan, Pembeli akan melantik peguam untuk menyediakan perjanjian jualbeli. Tempoh masa anggaran untuk proses di atas ialah antara 2 ke 4 minggu.

Langkah 2

Pembeli akan menandatangani perjanjian jualbeli dan lain -lain dokumen yang berkaitan dengan pembelian tersebut. Penjual dan pembeli juga hendaklah menandatangani borang permohonan kebenaran pindahmilik.

Pembeli perlu membayar baki deposit bersamaan 6.82% dari harga jualbeli semasa perjanjian ditandatangan dan duit tersebut dipegang oleh firma guaman sebagai pemegang amanah sementara menunggu kelulusan pindahmilik diperolehi.

Penjual hendaklah menyerahkan resit cukai petak (cukai tanah) dan cukai taksiran terkini.

Langkah 3

Peguam akan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran pindahmilik kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) terlebih dahulu.

Unit-unit apartmen dan rumah yang dikategorikan sebagai kos rendah dan kos sederhana rendah perlu mendapat kelulusan untuk menjual dari Lembaga tersebut.

Sekiranya unit tersebut masih bercagar kepada bank, Peguam akan mendapatkan surat tiada bantahan kepada penjualan tersebut daripada pihak bank yang memegang gadaian.

Surat tersebut perlu dilampirkan bersama lain-lain dokumen sokongan termasuk slip gaji, apabila membuat permohonan kebenaran pindahmilik kepada LPHS dan juga pejabat tanah berkenaan.

Tempoh masa anggaran untuk mendapatkan kelulusan ini ialah 1 hingga 2 bulan.

Langkah 4

Setelah surat kelulusan diterima daripada pihak LPHS, peguam akan menghantar pula permohonan untuk mendapatkan kelulusan pindahmiilik kepada pihak berkuasa negeri.

Permohonan ini biasanya mengambil masa di antara 2 hingga 8 minggu bergantung kepada dokumen yang dilampirkan adalah lengkap dan tiada isu-isu yang boleh menyebabkan permohonan tersebut ditolak.

Langkah 5

Setelah kelulusan pindahmilik diperolehi dari pejabat tanah, peguam akan menghantar maklumat transaksi kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk ditaksirkan nilai duti setem yang kena dibayar atas pindahmilik tersebut.

Duti setem akan dikira ke atas nilai pindahmilik atau nilai pasaran unit berkenaan, mengikut nilai mana yang lebih tinggi.

Peguam juga akan memohon kepada bank yang membiayai hartanah penjual untuk mendapatkan penyata baki tebushutang serta akujanji yang relevan, untuk dikemukakan kepada pihak bank yang meluluskan pembiayaan kepada Pembeli.

Dengan adanya kelulusan pindahmilik tersebut, wang deposit yang dipegang oleh peguam sudah boleh dibayar kepada Penjual manakala wang deposit yang dipegang oleh ejensi hartanah berlesen sudah boleh diambil untuk membayar komisen ejensi berkenaan.

Proses ini mengambil masa lebih kurang 2 ke 4 minggu.

Langkah 6

Peguam pihak bank akan membuat peserahan untuk mendaftarkan kaveat persendirian bagi pihak bank. Ini adalah sebagai sekuriti sementara bagi membolehkan pihak bank mengeluarkan sebahagian dari wang pembiayaaan utk menebus hutang penjual dengan pihak banknya.

Peguam juga akan mengeluarkan surat pengesahan bahawa pada pendapat peguam, semua syarat pengeluaran wang pembiayaan telah dipatuhi serta kepentingan pihak bank adalah terlindung dan wang pembiayaan boleh dikeluarkan.

Tetapi kadangkala masih ada syarat-syarat pihak bank yang di luar kawalan peguam antara lain seperti perlindungan takaful ke atas peminjam telah diluluskan dan pembukaan akaun bank di bank berkenaan telah dibuat.

Langkah 7

Peguam seterusnya menunggu pihak bank penjual mengembalikan suratan hakmilik strata asal, borang melepaskan gadaian yang telah ditandatangani oleh pihak bank, serta lain-lain dokumen penting dan berkaitan setelah pembayaran tebus hutang dibuat.

empoh pemulangan dokumen ialah di antara 2 hingga 4 minggu dari tarikh penerimaan bayaran.

Langkah 8 

Setelah menerima dokumen-dokumen dari pihak bank penjual, Peguam akan menguruskan pembayaran duti setem ke atas imstrumen pindahmilik dan lain-lain dokumen yang berkaitan termasuk borang melepaskan gadaian dan gadaian.

Urusan pembayaran duti setem lebih mudah sekarang dengan adanya sistem e-stamping.

Setelah dokumen-dokumen dibayar duti setem, Peguam akan membuat perserahan Borang Pindahmilik, Melepaskan Gadaian dan Gadaian serta suratan hakmilik asal di pejabat tanah berkenaan.

Tempoh masa yang diambil untuk urusan-urusan diatas ialah di antara 1 ke 2 minggu.

Langkah 9 

Peguam akan mengeluarkan satu lagi surat pengesahan bahawa dokumen dokumen yang dinyatakan di atas telah diserah untuk didaftarkan. Peguam akan menunggu bayaran dari pihak bank Pembeli.

Tempoh masa anggaran yang diambil untuk proses ini ialah diantara 1 hingga 2 minggu.

Langkah 10 

Bayaran yang diterima dari pihak bank Pembeli akan di bayar kepada Penjual. Penjual akan diminta menyerahkan kunci dan pemilikan kosong rumah tersebut kepada Pembeli. Pembeli kemudiannya sudah boleh berpindah ke rumah idaman yang dibeli.

Pembeli hendaklah membuat kiraan masa supaya tidak keluar terlalu awal dari rumah yang sedang disewa (jika menyewa) sedangkan unit yg dibeli belum sedia utk diserahkan. Selalulah bertanya kpd peguam yg dilantik supaya anggaran masa utk berpindah masuk boleh diatur dengan tepat.

Tempoh selesai untuk urusan ini dianggarkan antara 3 hingga 10 hari.

Kesimpulan 

Langkah-langkah yang dinyatakan di atas adalah langkah secara umum.

Setiap kes adalah berbeza dan bergantung kepada jenis hartanah, penjual,pembeli, pihak bank pihak pihak ketiga yang terlibat dan kecekapan peguam yang dilantik untuk menguruskan urusan jualbeli tesebut.

#nailaw

 

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *